Pemuda usul perkasakan mahkamah syariah

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memohon agar Ahli Parlimen daripada kerajaan ataupun pembangkang membawa usul untuk meminda perlembagaan bagi memperkasakan dan memartabatkan Mahkamah Syariah.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berpandangan bahawa sudah tiba masanya Mahkamah Syariah diletakkan sebaris dengan Mahkamah Sivil.

“Sudah tiba masanya mahkamah syariah perlu diletakkan sebaris dengan mahkamah sivil

“Seperti sebelum penjajahan British, Tanah Melayu ini sudah mempunyai kanun Melaka, undang-undang bertulis Terengganu dan undang-undang 99 Perak yang menjadikan Islam sebagai sumber rujukan pertama untuk membuat undang-undang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau percaya bahawa usul tersebut akan disokong oleh ahli-ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang terutamanya yang beragama Islam serta berbangsa Melayu.

“…dan kami mohon agar ahli parlimen dari kerajaan mahupun pembangkang boleh membawa usul meminda perlembagaan untuk memartabatkan dan memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Saya percaya usul ini akan disokong oleh ahli-ahli parlimen dari kerajaan dan pembangkang terutama yang beragama islam serta berbangsa Melayu. Mahkamah syariah perlu diperkasakan!” katanya.

Terdahulu media melaporkan bahawa UMNO menyokong semua usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah termasuk membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa penggubalan enakmen undang-undang agama Islam.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya sentiasa berpendirian menyokong segala usaha menjaga kesucian agama Islam di negara ini. – UMNO Online