BN hormati keputusan Lembaga Pengampunan

DEWAN Tertinggi Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pada masa sama, mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diadakan hari ini juga mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sempena Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju membentuk satu Jawatankuasa Khas bagi menyelaras semua program bersempena sambutan ulang tahun berkenaan pada Jun depan.

“Mesyuarat Dewan Tertinggi juga bersetuju mengenai beberapa pelantikan iaitu Pengerusi Jawatankuasa BN Terengganu, Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Barisan Nasional Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian-bahagian berdasarkan fasal 24(A),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat dewan itu di Bangunan Dato Onn, malam tadi.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 dilaporkan memutuskan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Dalam pada itu, BN turut menjunjung kasih ke bawah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.