BN sedia tandingi kemungkinan enam PRK

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon di enam kawasan Parlimen yang ketika ini disandang Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Perdana Menteri, sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Presiden UMNO itu berkata, ia berikutan kawasan Parlimen Kuala Kangsar, Gua Musang, Labuan, Jeli, Bukit Gantang dan Tanjung Karang itu adalah kerusi tradisi parti diketuainya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya akan melihat kepada keputusan mahkamah terlebih dahulu berhubung pindaan perlembagaan BERSATU berkaitan pengosongan enam kerusi parlimen berkenaan, katanya di Bagan Datuk, semalam.

Semalam, BERSATU dilaporkan meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).