Presiden perjelas isu kepada ahli akar umbi

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah turun padang secara berterusan untuk mengadakan pertemuan dengan akar umbi parti di seluruh negara bagi memberi penjelasan terhadap isu-isu yang menjadi persoalan buat mereka bagi memperkukuhkan lagi parti itu.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu UMNO menggarab semula sokongan pengundi-pengundi Melayu kepada calon parti itu bagi mewakili Barisan Nasional (BN).

Jelajah akar umbi itu saya telah jalankan sejak Oktober tahun lepas dan sambutan daripada akar umbi memang luar biasa. Mereka dahagakan maklumat semasa dan saya berikan penjelasan biarpun tidak terperinci, dengan menggariskan beberapa isu yang menjadi persoalan kepada mereka.

“Persepsi bertambah baik (terhadap Kerajaan Perpaduan), walaupun kerajaan ini di bawah Anwar sering dilemparkan dengan (dakwaan) beberapa isu. Tetapi saya yakin dengan adanya jumlah dua pertiga (sokongan) yang ada di Parlimen bersama (Kerajaan Perpaduan),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Kepala Batas, yang turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat pertama susulan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024), akan diadakan pada Isnin ini untuk berbincang dengan pengerusi kluster.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu kepada Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) berkata, KEB 2024 itu memperlihatkan komitmen kerajaan melaksanakan semua resolusi yang munasabah dilaksanakan, tanpa perlu mewujudkan agensi-agensi baharu.