Warisan masih berunding dengan Umno Sabah

PARTI Warisan (WARISAN) sedang dalam perbincangan dengan UMNO bagi mewujudkan kerjasama demi kepentingan rakyat di Sabah, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, kesediaan itu berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menganggotai UMNO selama 29 tahun sebelum digantung keahlian pada Julai 2016 dan meninggalkan parti itu 10 hari kemudian.

“Kerjasama ini untuk memastikan supaya setiap pentadbiran akan datang menjurus ke arah fokus memastikan Sabah dan pembelaan terhadap rakyat negeri itu menjadi keutamaan.

Bekas Menteri dalam Kabinet Persekutuan yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu ditanya sama ada WARISAN sudah memuktamadkan keputusan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka tahun ini.

Januari lalu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan parti itu dan WARISAN sedang bekerjasama bagi menghadapi PRN negeri berkenaan, namun pengumuman rasmi akan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sabah dijadual mengadakan PRN pada 2025 walaupun terdapat jangkaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mungkin mengadakan pilihan raya dalam tahun ini.