Pemuda gesa aliran vernakular dikaji semula

PEMUDA Umno menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan, kata ketuanya, Akmal Saleh.

Akmal berkata penilaian itu perlu dilakukan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikkan ekosistem pendidikan kebangsaan juga perlu dilakukan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

“Pegerakan Pemuda Umno Malaysia dengan ini mencadangkan agar dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

“Menginsafi kerumitan, sensitiviti dan polemik yang melingkari isu ini, kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan untuk menerajui usaha ini bagi memastikan ia diurus dalam kerangka yang penuh cermat, di luar pengaruh sentimen, syak wasangka dan hasutan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Akmal, pihaknya melihat dengan penuh khuatir akan perkembangan mutakhir mengenai isu sekolah vernakular.

Katanya ia mencerminkan bahawa setelah hampir 70 tahun kemerdekaan dicapai, masih wujud jurang nilai dan pemisahan persefahaman di antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.