Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor berkuat kuasa hari ini.

Dalam catatan di Facebook beliau hari ini, keputusan itu dibuat selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di negeri itu dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat. Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah.

“Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar, malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pendekatan dan prinsipnya mudah iaitu jika tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan, maka beliau tidak harus memegang sesuatu jawatan.

“Lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif. Sewaktu saya dipilih sebagai ahli MKT UMNO dari Selangor dan dilantik Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dulu, saya sudah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di Selangor,” katanya.

UMNO sukar digelar parti nasional atau parti untuk masa depan jika tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, katanya.

“Selangor negeri amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak. Demografinya majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas.

“Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti,” katanya sambil menjelaskan, strategi ampuh sepatutnya dirangka dengan ketetapan sesuai dengan realiti semasa.

“Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lalu sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera. Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” katanya.

Katanya, kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah UMNO terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.