UMNO Perak sedia hadapi enam PRK

UMNO Perak sedia memasuki gelanggang sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan rentetan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, keputusan ROS berkenaan berkemungkinan tidak memberi kesan kepada enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, ia ekoran sokongan yang dinyatakan enam Ahli Parlimen Bersatu kepada perdana menteri, disuarakan sebelum pindaan berkenaan diluluskan semalam dan dikuatkuasa bermula Isnin.

“Pertama saya tidak pasti sama ada pindaan itu memberi kesan atau tidak kepada enam orang yang terlibat kerana pindaan itu tidak ‘backdated’ dia bukan dikuatkuasakan sebelum (sokongan dinyatakan).

“Ia (kelulusan pindaan) berkuatkuasa sekarang dan akan datang dan saya tidak pasti sama ada ia memberi kesan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya 2024 Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, pada Rabu.