UMNO komited kekalkan kerajaan pada PRU16

UMNO terbuka dan komited dalam menyokong inisiatif untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) demi kestabilan politik.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO berkata, parti pimpinannya bersedia menyokong sebarang saranan demi mewujudkan sebuah negara yang stabil khususnya dalam aspek politik dan ekonomi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri itu berharap semua 18 parti yang bekerjasama membentuk kerajaan Perpaduan ini dapat dikekalkan.

“Kita terbuka…UMNO, Barisan Nasional (BN) amat menyantuni rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dan kita ada objektif yang sama maka kita mesti mempertahankan kestabilan politik.

“PRU16 adalah satu pilihan raya untuk menterjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan akal fikiran dalam kalangan 18 parti ini dapat dikekalkan.

“Kami mempunyai komitmen yang berkesinambungan dan dalam hal ini kita terus komited untuk menyokong saranan bagi kepentingan sebuah negara yang stabil politiknya dan ekonominya berkembang pesat,” katanya kepada pemberita, di Putrajaya kelmarin.

Beliau ditemui pada Majlis Santunan Kasih Syawal bersama Timbalan Perdana Menteri, di Sri Satria, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat PKR yang mahu memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata kedudukan 152 ahli Parlimen yang melebihi dua pertiga perlu dipertahankan dengan adunan keserasian.

Beliau berkata, kestabilan politik adalah penting untuk perkembangan ekonomi yang baik, sekali gus peluang pekerjaan dengan gaji premium dapat ditawarkan.

“Kita lihat bahawa gaji penjawat awam sekarang dalam kerangka untuk diumumkan dan kita ketahui selepas 12 tahun kita akan melihat skim gaji ini akan memberikan peluang kepada penjawat awam untuk terus mempertingkatkan produktiviti.

“Saya harap dengan ekonomi yang baik, sektor sektor swasta juga akan melakukan perkara sama begitu juga peluang pekerjaan baharu dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

18 parti di dalam Kerajaan Perpaduan terdiri daripada lima gabungan politik iaitu Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).