Kenaikan gaji penghargaan kepada sektor awam

PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus Disember nanti membuktikan kesungguhan beliau dalam menghargai sumbangan pekerja sektor awam kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri itu juga pasti mengejutkan penjawat awam kerana ia merupakan antara kenaikan terbesar dalam sejarah pentadbiran awam negara.

“Ia penantian yang panjang.. Perdana Menteri telah mengambil keputusan mengejutkan, kita tahu bahawa kedudukan kewangan kurang memuaskan setakat ini berikutan faktor ekonomi, tetapi Perdana Menteri sangat komited untuk menghargai penjawat awam keseluruhannya,” katanya kepada pemberita di Perkarangan Kompleks UMNO Jelebu Simpang Pertang.

Terdahulu beliau menghadiri majlis sambutan Hari Raya Parlimen Jelebu yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Seiring dengan pengumuman itu, Ahmad Zahid berkata beliau berharap penjawat awam tentunya dapat melipatgandakan produktiviti masing-masing dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat dengan lebih efisien.

Sementara itu beliau berkata pengumuman itu juga bertepatan dengan sambutan Hari Pekerja hari ini dan bukan ‘gula-gula’ susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang sedang diadakan ketika ini.