Pemuda saran penyasaran subsidi diesel berkala

KERAJAAN dicadang melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berkala membabitkan jumlah penarikan lebih kecil terlebih dahulu, berbanding langkah mengejut seperti yang berlaku ketika ini.

Cadangan itu disuarakan Pergerakan Pemuda UMNO yang mahu penarikan subsidi diesel dibuat pada kadar 10 peratus minimum atau 20 sen terlebih dahulu sehinggalah cabaran awal dapat diatasi.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata walaupun Pergerakan Pemuda UMNO menyokong dasar penstrukturan subsidi, namun jumlah penarikan subsidi lebih besar secara berkala hanya boleh dilaksanakan selepas situasi ekonomi semasa kembali stabil.

“Pengumuman penarikan secara penuh subsidi diesel bermula hari ini mendatangkan pelbagai rasa dan reaksi. Kami berpandangan dan mengesyorkan supaya penarikan subsidi diesel ini perlu dilakukan secara berkala dan bukanlah secara total dan mengejut seperti yang diumumkan.

“Kesan penarikan subsidi diesel ini akan mengakibatkan harga diesel naik dengan begitu mendadak dari RM2.15 kepada RM3.35 iaitu kenaikan sebanyak RM1.20 bagi setiap liter.

“Kenaikan yang besar dan ‘tajam’ ini sudah pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa dan orang ramai,” katanya kepada BH.