PRK Sungai Bakap ditetapkan pada 6 Julai

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

Katanya, tempoh berkempen akan ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 5 Julai.

“Sehubungan itu, bagi urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka bermula hari ini.

“Tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media adalah pada 20 Jun ini.

“Bagi kategori 1B dan 1C iaitu membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara serta agensi atau organisasi, tarikh akhir permohonan adalah pada 13 Jun ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas PRK DUN Sungai Bakap, hari ini.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Azmi berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK DUN Sungai Bakap adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2024 yang dikemas kini sehingga 24 Mei lalu.

“DPPR ini mengandungi 39,279 pemilih yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

“DPPR bagi PRK Dewan Undangan N20 Sungai Bakap akan mula dijual pada 18 Jun ini,” katanya.

Tambahnya, PRK yang bakal dilaksanakan itu memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta.

“Seramai 552 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Sungai Bakap dengan sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 10 dengan 66 tempat mengundi atau saluran,” katanya. – BHarian.com