7 Sebab Kenapa Subsidi Petrol Bersasar PH Lebih Membebankan Rakyat

PENGUMUMAN mengenai pelaksanaan Subsidi Petrol Bersasar oleh YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution kelmarin mencetuskan pelbagai persoalan yang hakikatnya tidak mencerminkan keseriusan Kerajaan untuk menangani keperluan rakyat yang kini sedang terbeban dengan kos sara hidup yang memeritkan.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggariskan 7 persoalan yang menjadi hujah kenapa polisi terbaru Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini ternyata lebih membebankan rakyat:

1. Adakah syarat kenderaan persendirian dan mempunyai cukai jalan yang sah ini telah mengambilkira keadaan mereka yang tinggal di kampung-kampung dan pedalaman? Ada di antara mereka yang menggunakan kenderaan seperti motorsikal lama untuk pergerakan di lokaliti mereka sahaja. Perlukah mereka memperbaharui insurans untuk membolehkan mereka memperolehi cukai jalan yang sah sekaligus menikmati janji subsidi yang ditawarkan? Merujuk pada laman otomotif terkemuka paultan.org, premium insurans bagi Honda EX-5 bernilai RM292.38. Ini bermakna rakyat biasa di kampung harus mengeluarkan wang sendiri hampir RM300 semata-mata untuk memperbaharui cukai jalan sebelum 15 Oktober 2019 ini untuk membolehkan mereka menikmati janji subsidi bernilai RM144 setahun.

2. Adakah pihak KPDNHEP telah mengkaji trend penggunaan kenderaan rakyat B40 khususnya di kawasan bandar atau pinggir bandar yang turut ditekan oleh kos perumahan dan kos sara hidup yang lain? Sebagai contoh, sekiranya pemilik sebuah Proton Saga 1,300cc mengisi minyak sebanyak 4 kali sebulan dengan jumlah 35 liter setiap kali isian, bermakna jumlah penggunaan mereka adalah 140 liter atau RM291.20 sebulan (anggaran RON95 =RM2.08 seliter). Memandangkan subsidi petrol yang dicadangkan hanya untuk RM30 bagi 100 liter sebulan, pengguna terpaksa membayar penuh tanpa subsidi bagi baki 40 liter. Justeru subsidi yang dicadangkan jelas tidak cukup untuk membantu meringankan beban rakyat B40 di kawasan bandar dan pinggir bandar.

3. Bagaimana pula nasib rakyat golongan M40 yang menjadi nadi penting memacu ekonomi negara selama ini? Golongan M40 kebanyakkannya tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan secara langsung terkesan dengan bebanan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang kian meningkat. Pelaksanaan pengapungan RON95 pasti akan memberikan kesan besar kepada golongan ini kerana harga RON95 sekiranya diapungkan kini mencecah RM2.25 seliter.

4. Pelbagai syarat yang dikenakan kepada bakal penerima subsidi yang dianggarkan hampir 2.8 juta dari kalangan BSH ini adalah tidak praktikal dan seolah-olah dibuat semata-mata untuk memastikan ianya dapat diisytiharkan perlaksanaannya sebelum pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat ini dan bukan berdasarkan keperluan rakyat sebenar. Apakah berbaloi perbelanjaan besar RM25 juta wang rakyatyang dibayar kepada syarikat konsultan luar yang kononnya untuk membangunkan sistem subsidi bersasar yang efektif ini dalam tempoh 10 bulan? Siapa agaknya syarikat konsultan tersebut?

5. KPDNHEP menganggarkan tanggungan subsidi bagi pelaksanaan program ini adalah RM65.4 juta sebulan atau RM784.8 juta setahun. Mengapakah Kerajaan tidak boleh memberikan komitmen untuk mengekalkan peruntukan RM2.0 billion setahun untuk tahun-tahun akan datang seperti yang dijanjikan bagi dalam ucapan Belanjawan 2019.

6. Ucapan Belanjawan 2019 oleh YB Lim Guan Eng tahun lepas memperuntukkan RM2.0 bilion bagi SBP ini. Sekiranya YB Menteri KPDNHEP berkata pelaksanaan dimulakan pada 1 Jan 2020, adakah ianya menggunakan peruntukan Belanjawan 2020? Maka, bagaimana pula RM2.0 billion yang sepatutnya digunakan untuk program ini?

7. Semasa PH menjadi Pembangkang, acap kali dihujahkan mengenai ’Domino Effect’ dimana kenaikan harga minyak petrol runcit akan menaikkan harga barangan pengguna. Sudahlah rakyat kini terbeban dengan kenaikan harga barangan disebabkan cukai SST yang jelas tidak adil dan efisyen, bukankah ini hanya akan menambah beban rakyat dikala keadaan ekonomi negara yang tidak stabil kini!

Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar pihak Kerajaan mengkaji semula pelaksanaan program SBP ini. Kita tidak mahu melihat rakyat terus diperkotak-katikkan semata-mata mahu dilihat melunaskan janji Belanjawan 2019. Hakikatnya rakyat masih menagih subsidi sepenuhnya harga petrol agar harga minyak RM1.50 sebagaimana janji manifesto PH dan ucapan-ucapan pimpinan utama PH dapat direalisasikan

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

8 Oktober 2019


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *