KUALA LUMPUR, 28 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada semua pemimpin, ahli dan penyokong UMNO terus berpegang kepada asas perjuangan parti iaitu demi agama, bangsa dan negara.
Katanya, sudah lebih setahun sejak Fasal 3 Perlembagaan UMNO berkenaan asas dan tujuan parti kita dipinda pada Perhimpunan Agung UMNO 2019.
“Pindaan yang bertujuan meletakkan Islam paling keterhadapan dalam perjuangan UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara. Sebelum pindaan, Perlembagaan UMNO menggariskan UMNO sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu.
“Kewujudan UMNO sebagai sebuah parti politik demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
“Selepas pindaan dilakukan, UMNO telah meletakkan Islam di hadapan kemudiannya disusuli dengan bangsa dan negara,” terangnya berkaitan hal terbabit yang dinyatakan melalui laman facebooknya.
Ujarnya, pindaan ke atas Perlembagaan UMNO itu tidak hanya sebagai retorik sahaja, jauh sekali daripada rencana memancing sokongan.
“Pindaan itu adalah manifestasi kejujuran dan keikhlasan berterusan UMNO dalam memartabatkan syiar Islam di negara yang berdaulat ini.
“Pindaan itu malah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan UMNO sebagai parti terbesar Melayu serta menjadi tonggak utama kekuatan UMNO selepas PRU Ke-14. Menjadi denyut nadi perjuangan UMNO yang berterusan.”
Jelasnya, pindaan terhadap Fasal 3 itu juga dengan pengharapan perjuangan UMNO sentiasa dalam limpahan rahmat, keredhaan dan keberkatan Allah S.W.T dengan beliau memetik surah al-A’raf: 96 berbunyi:
“Dan sekiranya ahli sesuatu tempat itu beriman dan bertaqwa, maka kami akan buka bagi mereka keberkatan dari langit dan bumi”
Tegasnya Ahmad Zahid lagi, dengan keimanan dan keikhlasan dalam perjuangan berlandaskan kerana Allah S.W.T, maka ranjau dan kesulitan yang dihadapi pasti akan terlerai.
“Juga menzahirkan sifat istiqamah, bersabar dan tidak berputus asa dalam kalangan pemimpin, ahli dan para penyokongnya.”
Namun begitu katanya, pindaan itu bagaimanapun tidak pula bermaksud UMNO sebagai parti politik yang mengenepikan hak penganut agama lain.
“Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO jelas menyatakan UMNO menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip
kebebasan beragama.
“Mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan selagi mana ia membela Kepentingan Raja-raja Melayu, Bangsa Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta lain-lain perkara sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Kontrak Sosial dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri di Malaysia.
“Kepada Allah S.W.T kita bertawakal agar perjuangan UMNO terus mendapat keberkatan menuju kejayaan.” – UMNO Online