Ahli Parlimen Pulai dan Mantan Menteri MAFI, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyelar langkah memansuhkan AP (Approved Permit) komoditi agromakanan (kecuali beras) yang diumumkan Perdana Menteri semalam sebagai langkah populis dan dibuat dengan tergesa-gesa.
Dato’ Seri Salahuddin minta ditubuhkan jawatankuasa untuk buat kajian sebelum mengambil langkah ini.
Respon:
Pertama, sudah ada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) yang membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. NACCOL membincang dan melaporkan maklumat terkini termasuklah berkenaan isu kenaikan harga barang makanan, punca-punca dan langkah-langkah yang boleh diambil.
Kedua, selain faktor global yang menjadi punca terbesar, ternyata antara faktor lokal yang perlu dan boleh ditangani ialah soal kartel yang mengawal pasaran.
Disinilah pemansuhan AP sedikit sebanyak diharap membantu mengurus cabaran dalam melonggarkan cengkaman kartel. Ia membolehkan sesiapa pun dalam pasaran tempatan – bukan hanya pihak tertentu – mengakses sumber pasaran luar alternatif bagi memastikan negara terhindar dari terputusnya stok bahan mentah makanan.
Jika benar Datuk Seri Salahuddin juga mahukan harga barang terkawal dan memperjuangkan sekuriti makanan, seharusnya beliau menyokong usaha ini dan bukan melabelnya sebagai populis atau tergesa-gesa. Jauh sekali untuk menambah satu lagi jawatankuasa mengkaji perkara sama, kerana tidak berani bertindak.
Ketiga, masalah yang di hadapan mata ialah inflasi makanan. Maka apa sahaja langkah yang mampu membantu kearah itu, selagi tidak memberi kesan buruk jangka panjang yang lain, wajar dilaksanakan.
Isu kedaulatan makanan merupakan isu teras yang memerlukan penyelesaian menyeluruh. Kerajaan bukan hanya melaksana satu langkah seperti pemansuhan AP, dan Perdana Menteri pun tidak pernah mendakwa bahawa ia dengan sendirinya boleh menyelesaikan semua cabaran yang sedang dihadapi.
Pengumuman terbaru ini berdiri disamping pelbagai lagi dasar dan bantuan yang perlu terus dilaksana dan diperbaharui bagi menjamin bekalan makanan di samping membela pengusaha tempatan supaya keluaran dalam negara dapat dirancakkan. Malah, selain pelbagai subsidi dan kawalan harga yang pernah diumumkan sebelum ini, semalam juga, PM mengumumkan bantuan RM200 selama enam bulan untuk pesawah.
Sekali lagi ditegaskan, isu yang membelenggui seluruh dunia ialah kenaikan harga makanan. Setiap negara akan perlu bertindak dengan kaedah masing-masing untuk meminimakan impak.
Kearah itu, langkah terbaru Kerajaan wajar dilihat dari kanta positif sebagai tindakan tegas cuba melaksanakan segala langkah yang mampu untuk responsif kepada situasi semasa.
#SambungYangTergendala
SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO