Usul Melampau dan Tidak Sensitif Debat Piala Tun Razak 2019

1. Saya menzahirkan rasa kesal dengan tindakan pasukan Ketua Hakim Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 (PTR) yang bertempat di Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR), Seremban baru-baru ini.

2. Seperti yang telah tular di media sosial serta akhbar tempatan, kedua-dua individu tersebut, Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal ini telah memberikan usul debat yang sangat keterlaluan, tidak mengambil kira sensitiviti agama malah terlalu biadab. Terutamanya apabila mereka mencadangkan usul debat yang bercerita tentang kewajaran penulisan semula serta penerbitan baharu Al-Quran dan penerimaan homoseksualiti sebagai bukan satu dosa.

3. Mengapa perkara ini saya dianggap biadap dan keterlaluan?

4. Pertama, kita tidak seharusnya sampai menolak atau membuang sepenuhnya nilai pegangan dan kepercayaan agama hanya kerana mahu berdebat. Usul-usul yang dicadangkan tersebut dengan jelas memaksa peserta untuk mengetepikan kepercayaan agama dan nilai yang mereka pegang sebagai seorang individu.

5. Kedua, debat seharusnya membincangkan perkara yang logik, bersandarkan realiti dan pragmatisme. Bukannya dijadikan medan untuk mengabsahkan fantasi dan imaginasi pasukan ketua hakim yang tidak berasas dan tidak berkeperluan.

6. Ketiga, debat harus mensasarkan kepada penambahbaikan dasar dan cara hidup. Bukannya dijadikan instrumen halus untuk menyebar kekeliruan identiti, ideologi liberalisme melampau atau pun pemikiran ekstrem. Terutamanya di kalangan bawah umur seperti pelajar sekolah.

7. Tindakan sedemikian bukan sahaja memburukkan dan memberi persepsi yang salah tentang komuniti debat, malah pertandingan debat itu sendiri.

8. Saya menyokong tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas dalam perkara ini.

9. Debat, seperti mana-mana juga pertandingan atau aktiviti lain mesti disokong. Tetapi, ia haruslah dilaksanakan dengan pendekatan dan cara yang menjadikan kita manusia yang lebih baik. Malah, menjadikan kita sebagai warganegara serta penganut dan pendukung agama yang lebih baik. Jika tidak, semua yang kita lakukan akan bersifat sia-sia.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *