Umno tolak kerusi PBT kerana tak tamak – Zahid

UMNO menafikan dakwaan bahawa parti Melayu itu tamak untuk mendapatkan jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor selepas menyerahkan semula kuota 20 jawatan tersebut kepada parti sekutunya, Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan tersebut dibuat untuk bersikap adil kepada UMNO Selangor yang mempunyai 22 bahagian, namun hanya ditawarkan sebanyak 20 jawatan.
“Tidak timbul soal tamak dalam perkara ini, kerana kami ada 22 ketua bahagian. Jadi kalau ada yang dapat, dan tidak dapat, adalah lebih baik semua tidak dapat (jawatan ahli majlis PBT).
“Kita serahkan kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari untuk bersama-sama dengan kami, walaupun kami di luar PBT, kami akan tetap dukung dan menyokong program kerajaan negeri melalui PBT ini,” katanya di Putrajaya, semalam.