Batal cadangan: Asyraf hargai keputusan Nga

SETIAUSAHA Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berterima kasih kepada Nga Kor Ming yang menarik cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Asyraf Wajdi menyifatkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sebagai menghormati pendirian UMNO.

“Terima kasih YB Nga Kor Ming kerana menghormati pendirian UMNO dan tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Banyak keutamaan lain yang perlu Kerajaan Perpaduan tumpukan ketika ini terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek,” katanya dalam kenyataan.

Asyraf Wajdi berharap supaya isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan pada masa akan datang.