‘Beras Madani akan hanya untungkan kartel’

PEMUDA Umno menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak membenarkan cadangan Beras Putih Malaysia Madani Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaksanakan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sekiranya Beras Putih Malaysia Madani ini diwujudkan, pihaknya yakin beras putih tempatan tidak akan ada di pasaran.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, beras putih tempatan pada masa ini sukar untuk didapati di pasaran negara.

“Seharusnya kita perlu terus menentang kartel yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import, bukan menyokong apa yang mereka buat.

“Jika wujudnya beras madani ini, saya yakin tidak akan ada langsung beras putih tempatan di pasaran. Sedangkan yang sekarang ini pun isu beras putih tempatan begitu susah untuk kita dapat,” katanya di Facebooknya, Sabtu lalu.

Sebelum ini Syed Abu Hussin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengumumkan, kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Selain itu, Dr Muhamad Akmal berkata, jika Beras Putih Malaysia Madani ini dijual di pasaran, tidak akan ada lagi beras putih dijual pada harga RM26.

“Sebab apa?Peniaga ini daripada dia jual RM26 beras (putih) tempatan, baik dia jual RM30. Dia (dapat) untung lebih banyak,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Syed Abu Hussin yang membawakan isu mengenai Beras Putih Malaysia Madani.

“Apakah locus standi Ahli Parlimen Bukit Gantang ini nak bercakap soal Beras Putih Malaysia Madani ini.

“Saya minta, nasihatkan Ahli Parlimen Bukit Gantang ini, mulut dia jangan lebih daripada kajian. Kalau nak bercakap, nak bagi kenyataan media, buat kajian betul-betul,” katanya.