Zahid dianugerah Doktor Kehormat SIT Jepun

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat Kejuruteraan daripada Institut Teknologi Shibaura (SIT), Tokyo sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pengukuhan kerjasama pendidikan teknikal Malaysia-Jepun.

Penganugerahan itu juga berikutan usaha berterusan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bagi memastikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terus menjadi platform meningkatkan kemahiran pelajar serta pengukuhan jalinan kerjasama industri kedua-dua pihak.

Ijazah Kedoktoran Kehormat berkenaan disampaikan oleh Presiden SIT Prof Jun Yamada kepada Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara di pusat pengajian berkenaan di sini.

Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun bermula Jumaat lepas, berkata pengiktirafan itu akan memberikannya dan seluruh pasukan di bawah Majlis TVET Negara untuk berusaha lebih kuat dalam menjadikan program serta ekosistem TVET Malaysia lebih berkualiti dan berdaya saing.

“Saya juga percaya pengiktirafan di peringkat antarabangsa ini penting sebagai asas jaminan bahawa TVET bukan lagi pilihan kelas kedua, malah menjadikannya pilihan kerjaya utama dan menjaminkan gaji premium serta lumayan sekali gus dapat mengubah persepsi masyarakat dalam memartabatkan TVET di Malaysia,” katanya.

Terdahulu pagi tadi, Ahmad Zahid menerima watikah pelantikan sebagai Presiden Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) Antarabangsa bagi Cawangan Malaysia, iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa memfokuskan promosi jalinan kerjasama antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Pelantikan Ahmad Zahid itu disempurnakan Presiden OISCA Antarabangsa Nakano Etsuko di National Diet Building di sini.

OISCA Antarabangsa mengiktiraf program perantisan industri di Jepun dengan menganugerahkan pelajar Malaysia Diploma Dalam Latihan Industri selepas mereka menamatkan program pembelajaran.

Hal ini akan memberi peluang kepada belia Malaysia untuk menimba pengalaman berharga, serta meningkatkan kebolehpasaran dan nilai pasaran mereka.