Zahid Hamidi selar gelaran ‘biawak hidup’

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan bekas ahli parti itu yang menyamakan kepimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘biawak hidup’.

Beliau berkata, ada pihak terutama dalam kalangan bekas ahli parti itu yang mengkritik dan mencipta kebencian dalam kalangan rakyat apabila Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dilancarkan oleh kerajaan.

“Ada kumpulan yang mengatakan kononnya maklumat peribadi akan digunakan kerajaan terutamanya Kementerian Ekonomi untuk menggali maklumat-maklumat peribadi dan dikongsi dengan semua pihak, semua yang baharu pasti ada cabarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat Banting, malam tadi.

Ahmad Zahid dalam pada itu menganggarkan terdapat kira-kira 22 peratus pihak yang menentang apa sahaja inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Ini termasuklah bekas tokoh yang mengatakan seseorang itu biawak hidup, adakah biawak hidup itu akan memberi kesan kepada keputusan oleh rakyat terutamanya dalam pilihan raya.

Jelas Ahmad Zahid lagi, kumpulan ini terlalu banyak dalam negara dan jika tidak dibendung individu terbabit akan menjadi biawak hidup yang sebenarnya.